Rabu, 8 April 2009

Beberapa hasil karya..

Antara karya yang telah diterbitkan ialah

"Eva" (1981),

"Akrab" (1985),

"Menyusur Musim" (1991),

"Seorang Anak Kecil dan Sajak-sajak Lain/A Child and Other Poems (puisi dwibahasa, 1993),

"Masih" (1997),

"Sebuah Fragmen Cinta" (1998)

"Nyanyian Sepi" (puisi dwibahasa, 2000).


Puisi beliau berjudul "Ketika Kami Bercerita Tentangnya" telah dipilih sebagai teks puisi di dalam antologi "Anak Bumi Tercinta" yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.


Judul karya:

  • Berkelana di Belantara Kata
  • Bisik Pada Angin
  • Citra Kurnia
  • Memetik Mawar
  • Nota Waktu
  • Nyanyian Sepi (Mandarin)
  • Prahara Di Padang Karbala
  • Rindu Seorang Salina

Aktiviti..

Lim Swee Tin bukanlah nama baru dalam dunia kepenyairan. Beliau merupakan penerima S.E.A Write Award 2000 (penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh Kerajaan Diraja Thailand. Selain sering muncul di kaca televisyen mendeklamasikan puisi, penyair Lim Swee Tin turut giat memberi ceramah penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau pernah diundang mendeklamasikan sajak di Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan United Kingdom. Beliau kini Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam bidang penulisan, beliau cenderung menulis puisi. karya awalnya terbit pada tahun 1973. Beliau juga menghasilkan cerpen, novel dan tulisan-tulisan bercorak kesusasteraan. Pada tahun 1990, beliau mewakili negara pada acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau bagi program Penataran Karya Sastera selama hampir sebulan di Jakarta, Indonesia.


Hasil Penulisan

Beberapa hasil penulisan beliau. Antaranya:

  • Lim Swee Tin. 2007. Rencana' Anugerah S.E.A Write Masih Gah'. Dewan Sastera Januari. Hlm. 20-23
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak: Titih Salam Pujangga Zaman. Januari. Dewan Sastera. Hlm 6-7
  • Lim Swee Tin. 2007. Rencana 'Yang Pasti, Bukan Hanya Emak Untuk Ibu'. Dewan Bahasa. Hlm.36-38
  • Lim Swee Tin . 2007. Sajak 'Mantera Remaja'. Dewan Siswa, hlm 65 (kulit)
  • Lim Swee Tin. 2007. Rencana ' Penulis Muda: Satu Rahmat atau Pengacau?. Utusan Malaysia. Januari. Hlm. 21
  • Lim Swee Tin. 2007. Darihal Bahasa: Yang Pasti, Bukan Hanya Emak untuk Ibu. Dewan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm. 36-38
  • Lim Swee Tin. 2007. GAPENA di Universiti WalailakNakhornsi Thammarat : menyemarakkan Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan. Dewan Sastera dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm. 90-91
  • Lim Swee Tin. 2007. Unsur Pemujukan Dalam Bahasa Pelancongan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 24-26
  • Lim Swee Tin. 2007. Bahasa Perpaduan Melalui Media Penyiaran. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 10-12
  • Lim Swee Tin . 2007. KOMSAS berhasil Melestari Sastera. Mingguan Malaysia. Hlm. 31
  • Lim Swee Tin. 2007. Gaya Ekstrem Dalam Bahasa Jualan Langsung. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 14-16
  • Lim Swee Tin . 2007. Merelevankan Subjek Sastera. Mingguan Malaysia.hlm. 14
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak Patriotisme: Awal Kemunculan, Perkembangan dan Impaknya. Dewan Sastera. Hlm. 30-32
  • Lim Swee Tin. 2007. Sumber Pengalaman dan Kekayaan Tanggapan Diri Menganjakkan Aras Resepsi Memugar Makna dan Erti. Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 81-85
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Titih Salam Pujangga Zaman" dalam Dewan Sastera. Hlm. 6-7
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Mantera Remaja " dalam Dewan Siswa.
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Kalau Sesekali Kau memahami' dalam Mingguan Wanita. Hlm. 86
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Sewaktu Melintasi Nakhornsi Thammarat' dalam Dewan Sastera. Hlm. 91
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Pesona 1 " dalam Keluarga Harmoni, Utusan Karya Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Hlm. 89
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Selalu " dalam Majalah Wanita. Utusan Karya Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Hlm. 184
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Warga Malaysia " Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. Hlm. 32
  • Lim Swee Tin. 2007. Sajak " Di Lantai Tanah Berbudi ini " Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm. 20 - 21

Sajak : Api Zionis

Api Zionis

- menentang pencerobohan dan kezaliman ke atas GAZA

Palestin
Tanah berdebu di Asia Tengah
Ditakdirkan menjadi sobekan-sobekan walang
Dipanggang perih bara bernama perang
Tanah keringmu garing dalam marak nyala silih berganti
Ratusan ribu nyawa melayang, jutaan pula jiwa meronta
Padang kontang langit kelabu tersangkut di bahu gunung-gunungmu
Menjadi saksi kesakitan abadi dekad ke dekad sengsara berselirat.

Palestin
Cerita nestapamu bilakah akan terhenti
Ketika anak-anak kecilmu ditewaskan, ibu-ibu tua dirundung rawan
Perebutan ini jahat, api kekejaman di mana-mana melarat
Rintih duka, rawan hiba menjadi kolaj comot tergantung di birai sejarah
Sejarah mengalir dalam merah darah cair
Para pahlawanmu pergi tak pulang di bawah runtuhan gelimpangan
Lelaki tua raungnya hilang suara, zionis menjalarkan cakarnya mengoyak pusaka.

Palestin
Aduh Palestin yang mengaduh
Perlindungan itu bukan untukmu, pembelaan itu tertangguh lagi di lidah kelu
Bangsa-bangsa Bersatu itu bisu, Bangsa-bangsa Bersatu telah batu
Satu suara tak pun kedengaran betapalah sirna ia di puncak menara
Seratus suara dikelamkan muslihat digulung dilipat di sidang khianat
Dari silang bumbung perjuangan tak terpeduli rempuhlah Palestin
Biar luka berderai biar tubuh berkecai, telah kematian simpati, telah lesu di sana kemanusiaan yang terperi.

Aku tahu letihmu amat mengerah kudrat menyongsong angin berat
Aku mahu nyanyikan lagu untuk saujana tanah abadimu yang kaurindu
Pada malam-malam bening di bawah langit pekat yang tiba-tiba berapi dari neraka
Aku mula mendengar tempik pahlawanmu tak terkalahkan
Mereka menyerbu, merempuh soldadu dalam ronta kepayahan
Para mujahidmu oh kaulepaskan saat sekelilingmu mengecilkan diri
Palestin kami bersamamu kami dahan untuk pautmu
Sedang sempadan rakus mereka koyak kami di sini bersama mengirimkan esak.

Palestin, Palestin, Palestin
Kami di sisimu izinkan meriba nestapa purba
Ingin benar kami membalut semua luka sukma
Api Zionis itu sambarnya sinis
Cengkam bumi kalbu dan batinmu terhiris
Palestin, Palestin, Palestin
Teguhkan azam kentalmu, bentengkan juga sempadan terakhirmu
Kutahu keimanan ketaqwaan tak pernah goyah tak akan terpatah,dan, Palestin katakan:
“KAN KUPADAMKAN SELAHAPNYA
API KEANGKUHANMU ITU !!!”


Ciptaan
PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN
2009.

Disampaikan sendiri oleh beliau di Majlis "MUJAHID PALESTIN" anjuran Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Seksyen 16 pada 1 Februari 2009.

Sajak : Seorang Lelaki Tua

Seorang lelaki tua
yang tiba-tiba
merasakan
kehilangan sebuah sungai
tempat dulu petang-petang begini
bermain dengan teman-teman

Seorang lelaki tua
yang tiba-tiba
merasakan
kehilangan sebuah halaman
tempat dulu sewaktu kecil
mendengar ibu bercerita tentang sekian dongengan

Seorang lelaki tua
yang tiba-tiba
bagaikan terjaga
berdiri di antara bangunan-bangunan tinggi
asing dan menyepikan
di keliling asap dan debu
kering dan melemaskan


Lim Swee Tin, 1993